Majlis Konvokesyen Putri dan Rakan-rakan

Masa Sekarang

Kejayaan Sebuah Penantian

Alhamdulillah, berkat hasil titik peluh dan tabungan yang disimpan rapi sejak usia 12 tahun, Putri akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah dari sebuah IPT di Shah Alam. Apa yang paling membanggakan, dia menamatkan pengajiannya dengan rekod bersih tanpa sebarang hutang pendidikan. Di luar dewan, suasana gamat dengan tawa gembira para graduan.

Yasmin
"Korang! Tak sangka kita dah habis belajar. Lepas ni apa plan korang? Aku ingat nak rehat sebulan, lepas tu baru start apply job kat KL."
Aafiyah
"Aku pulak dah dapat interview minggu depan untuk jawatan Management Trainee. Cuak jugak ni, tapi kena cuba demi masa depan!"
Sumayyah
"Wah, tahniah Aafiyah! Kalau aku, plan nak tolong business keluarga dulu kat kampung. Sambil-sambil tu boleh spend time dengan parents."
Atia
"Bagus tu Sumayyah. Aku pulak target nak sambung Master terus kalau ada rezeki scholarship. Seronok pulak belajar bidang ni."
Atiqah
"Korang semua hebat-hebat la plan. Eh, Putri? Kau senyap je dari tadi. Kau pulak macam mana? Dah ada company panggil ke?"
Putri
"Buat masa sekarang, keutamaan aku adalah balik rumah dan jaga ibu aku. Penyakit dia makin kerap menyerang belakangan ni. Bagi aku, kerjaya boleh tunggu, tapi ibu... dia satu-satunya harta yang aku ada sekarang."

Masing-masing terdiam seketika mendengarkan jawapan murni Putri, kagum dengan keteguhan hatinya. Sambil tersenyum sayu, mereka mula berbalasan pelukan, mengucapkan selamat tinggal, dan mendoakan kejayaan sesama sendiri sebelum melangkah ke haluan masing-masing.

Putri memandang skrol ijazah di tangannya. Senyuman lebar terukir di bibir—dia gembira kerana akhirnya berjaya membanggakan ibunya. Dengan hati yang berbunga-bunga, dia melangkah laju menuju ke motosikal kapcai EX-5 miliknya. Dia sudah tidak sabar untuk memulas pendikit pulang ke rumah bagi menunjukkan bukti kejayaan itu kepada wanita kesayangannya.